Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia, Indonesia tambah pos gabungan di sempadan

    KUALA LUMPUR, 28 Sept – Malaysia dan Indonesia akan menambah lima lagi pos gabungan (POSGAB) bersama di kawasan panas di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan pada tahun hadapan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata empat POSGAB sedia ada yang terletak di Lubok Antu, Biawak, Ba’Kelalan di Sarawak dan Seliku di Sabah perlu ditambah bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan sempadan.

    “Perkara ini dapat dicapai dengan kerjasama yang baik dari Indonesia dalam membantu menangani anasir-anasir yang tidak diingini di kawasan sempadan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Ke-40 Jawatankuasa Am Sempadan bersama Malaysia–Indonesia (GBC Malindo) di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

    Menyentuh isu ujian peluru berpandu Korea Utara, Hishammuddin berkata Malaysia dan Indonesia sepakat untuk tidak menyokong sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perbalahan atau perperangan serta perkara yang boleh menganggu-gugat keamanan sejagat oleh mana-mana negara.

    “Malaysia dan Indonesia akan membawa perkara ini dalam Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Filipina pada bulan depan bagi menyuarakan kebimbangan rantau Asia Tenggara dan akan memantau secara dekat perkembangan situasi di Korea Utara,” katanya.

    Mengulas GBC Malindo yang diadakan setiap tahun, Hishammuddin berkata ia bukan sahaja untuk mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia yang terjalin sejak 60 tahun lalu tetapi platform terbaik dalam merangka strategi memperkukuhtahap keselamatan dan kedaulatan kedua-dua negara khususnya di bahagian sempadan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda