KUALA LUMPUR, 31 MEI – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan oleh pelampau dan pegawai Israel di Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya pada Ahad.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata pencerobohan yang dirancang di tapak suci umat Islam dan perhimpunan perarakan bendera di Kota Lama adalah satu provokasi dan pelanggaran yang jelas terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa serta kawasan sekitarnya.
Serbuan terbaharu di Masjid Al-Aqsa itu sememangnya merupakan tindakan pencerobohan oleh rejim penjajah dan pelampau Israel yang akan menyemarakkan lagi api permusuhan di dalam serta di luar rantau itu, menurut kenyataan itu.
Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera menuntut rejim Israel menghentikan sebarang tindakan provokasi bagi menjamin keamanan dan kestabilan, kata Wisma Putra.
“Malaysia berdiri teguh dengan solidariti bersama rakyat Palestin, dan menegaskan status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam,” kata kenyataan itu.
Malaysia juga menegaskan sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin serta perjuangan mereka untuk mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel, sekaligus merealisasikan aspirasi untuk sebuah Negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota. – Bernama
