Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia kempunan tamat kemarau emas

    MANILA, 4 DIS – Skuad badminton lelaki negara gagal menamatkan kemarau 14 tahun pingat emas dalam acara berpasukan selepas tewas 1-3 kepada Indonesia dalam aksi final di Sukan SEA ke-30 di Kompleks Sukan Muntinlupa, di sini, hari ini.

    Kekalahan itu menyaksikan skrip sama ketika di Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu berulang, apabila Malaysia tumbang 0-3 menentang lawan sama di pentas final.

    Pada aksi pertama, perseorangan lelaki yang menduduki ranking ke-14 dunia, Lee Zii Jia gagal menyumbang mata sulung buat negara selepas tewas kepada pemain nombor enam dunia, Jonathan Christie.

    Pemain berusia 21 tahun yang tewas mudah pada set pertama, cuba bangkit memberi saingan dalam set kedua, namun usaha Zii Jia itu masih belum cukup untuk menyekat kemaraan Jonathan yang menang 21-9, 21-17.

    Pasangan beregu sensasi negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghidupkan semula peluang negara apabila menewaskan gandingan Fajar Alfian dan Muhamad Rian Ardianto untuk mengikat kedudukan 1-1.

    Langkah cemerlang itu bagaimanapun gagal diteruskan perseorangan kedua negara, Soong Joo Ven yang tunduk dalam aksi rubber set menentang Anthony Sinisuka Ginting.

    Kebangkitan yang diharapkan mampu dijelmakan gandingan beregu Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin pada aksi keempat tidak kesampaian selepas mereka tewas 16-21, 19-21 kepada Wahyu Nayaka dan Ade Yusuf Santoso.

    Ia sekali gus menyaksikan skuad negara kempunan menamatkan penantian pingat emas yang kali terakhir dimenangi ketika edisi 2005 di Manila.

    Pingat gangsa acara berpasukan lelaki menjadi milik bersama pasukan Thailand dan Singapura. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda