M’sia ketuai pembangunan ujian klinikal ubat rawat denggi

MELAKA, 5 JUN – Malaysia akan mengetuai pembangunan ujian klinikal beberapa ubat-ubatan sedia ada yang digunakan bagi penyakit lain untuk merawat demam denggi di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ujian berkenaan akan dijalankan di negara ini menerusi Clinical Research Malaysia (CRM) yang dijangka mengambil masa enam bulan hingga setahun sebelum ubat tersebut didaftarkan sebagai penawar denggi sekiranya ia berkesan merawat wabak itu.

“Usaha ini melibatkan kerjasama antara Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) serta dengan beberapa negara lain seperti Brazil dan India untuk melihat keberkesanan ubat-ubatan sedia ada untuk merawat denggi.

“Kita telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di bawah CRM untuk melaksanakan ujian klinikal itu dan ia dijangka bermula dalam beberapa bulan lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Melaka, Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Khairy berkata pencarian penawar denggi menerusi ubat-ubatan sedia ada me-rupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk melawan denggi dan penggunaan ubat berkenaan akan diberikan kepada pesakit demam denggi agar mereka dapat sembuh daripada wabak itu tanpa berdepan komplikasi yang menyakitkan atau serius. – Bernama