KUALA LUMPUR, 5 MAC – Malaysia kini sedang merangka kerjasama dengan negara-negara sepemikiran serta pihak berkepentingan, bagi meneroka kerjasama dalam bidang kritikal terutamanya perubatan, pendidikan serta pemulihan dan pembangunan semula infrastruktur asas di Gaza.
Timbalan Menteri Luar Datuk, Mohamad Alamin berkata, Malaysia kekal komited dalam usaha membantu pembinaan semula Gaza dan menentang keras sebarang cadangan pemindahan paksa rakyat Palestin.
Beliau berkata Malaysia juga bakal mempengerusikan bersama Jepun dalam Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin ke-4 (CEAPAD) IV) yang akan diadakan di Malaysia.
“Antara tumpuan kerjasama melalui CEAPAD ialah pembinaan kapasiti dan kerjasama teknikal bagi memperkasakan rakyat Palestin, menyelaras bantuan pembangunan serta berkongsi kepakaran dalam bidang tadbir urus, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.
“Kerjasama antara Malaysia dan Jepun melalui CEAPAD ini merupakan antara usaha kerajaan bagi mengukuhkan solidariti antarabangsa kepada Palestin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Mohamad berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, mengenai mekanisme utama yang telah disusun kerajaan untuk membantu pembangunan semula Gaza serta perancangan kerjasama strategik dengan pihak antarabangsa, untuk memastikan pembangunan semula Gaza dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Beliau menjelaskan bahawa tumpuan utama Malaysia ialah memastikan pemulihan segera terhadap keperluan asas dan perkhidmatan kritikal bagi membolehkan rakyat Palestin kembali membina kehidupan dengan kekuatan dan daya tahan jangka panjang.
“Bagaimanapun Malaysia perlu mengambil kira situasi semasa yang tidak menentu di Gaza, terutamanya apabila terdapat cadangan pemindahan paksa atau forced displacement rakyat Palestin dari tanah air mereka,” katanya. – Bernama
