KUALA LUMPUR, 25 JULAI – Malaysia hari ini melancarkan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai AS$10 bilion yang membentuk sebahagian daripada kempen infrastruktur global Beijing selepas dibatalkan pada tahun lalu apabila kerajaan yang dibelenggu rasuah disingkirkan.
Landasan kereta api sepanjang 640 kilometer itu akan menghubungkan timur laut Malaysia, berhampiran sempadan Thai ke pelabuhan utama negara di Selat Melaka di barat, membentuk sebahagian daripada rangkaian yang diharapkannya akan menganjur dari selatan China menerusi Asia Tenggara.
Pada satu majlis di negeri Terengganu, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata landasan itu akan mempertingkat ‘sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar, terutamanya di pantai timur semenanjung Malaysia.’
Projek itu, sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan China, adalah antara beberapa inisiatif infrastruktur yang dibiayai oleh Beijing yang ditangguhkan selepas kekalahan gabungan kerajaan pada tahun lalu. Kos kereta api dengan 20 stesen itu telah dikurangkan kepada RM44 bilion daripada harga asal RM65.5 bilion, sementara jalan kereta api telah diubah dan tarikh siap ditangguhkan ke 2026.
Loke berkata 85 peratus daripada kos projek akan dibiayai oleh pembiayaan daripada Bank Export-Import China. – AFP
