GEORGE TOWN, 13 SEPT – Malaysia berada di kedudukan terbaik bagi mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang 2025, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai hab pelaburan digital di ASEAN.
“Dengan memiliki infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem digital yang holistik dan bakat digital yang berpengetahuan tinggi, hari ini, Malaysia mampu menjadi destinasi pelaburan digital utama di ASEAN,” katanya pada majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di sini hari ini.
Ia dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Beliau berkata sejak inisiatif MSC Malaysia diperkenalkan pada 1996, kerajaan telah berjaya menarik pelaburan digital bernilai RM384 bilion.
Katanya, ia sekali gus melahirkan lebih 180,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan menjana pendapatan berjumlah RM588 bilion.
“Selepas 26 tahun, MSC Malaysia diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula sebagai Malaysia Digital (MD).
“MD berperanan mentransformasi ekosistem ekonomi digital negara dan memacu lebih banyak program berimpak tinggi secara langsung kepada Keluarga Malaysia,” katanya. – Bernama
