M’sia mansuhkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan 1 Mei

PUTRAJAYA, 27 APRIL – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 Mei depan, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan tetapi adalah atas pilihan individu.

Beliau berkata bagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutama apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam dan stadium.

“Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan,” katanya dalam sidang media di sini bagi mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik.

Khairy berkata pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan di dalam bangunan seperti gedung membeli-belah serta tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 akan diambil terhadap individu yang gagal mematuhi arahan itu.

Beliau berkata pelitup muka boleh ditanggalkan sekiranya bersendirian di dalam suatu ruang atau ketika makan, minum, berucap dan membuat persembahan.

“Pemakaian pelitup muka terutama di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang sekeliling khususnya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak serta individu terimunokompromi,” katanya.

Khairy berkata pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan selepas mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik. – Bernama

Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan bermula 1 Mei namun ia adalah atas pilihan individu. – Bernama