KUALA LUMPUR, 18 Okt – Langkah berjimat cermat bagi tempoh 2018-2020 boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi tetapi ia hanya bersifat sementara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya yakin dengan langkah membasmi ketirisan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan, dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Dr Mahathir, kerajaan Barisan Nasional terdahulu telah berbelanja dengan boros dan tidak berhemat.
“Sekarang kita perlu berbelanja dengan cermat. Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan perlu dikukuhkan,” katanya sambil menambah amalan kewangan yang tidak telus akan dihentikan dan ketirisan pada semua peringkat ditangani.
Langkah ini termasuk mengkaji semula pelaksanaan projek yang tidak mampan dan membatalkan projek berkeutamaan rendah.
Namun, projek pembangunan sosio-ekonomi yang berimpak tinggi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat akan diteruskan, katanya.
Bagi tempoh 2018-2020, ekonomi disasarkan berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negeri, terutamanya permintaan kukuh dalam kalangan negara rantau Asia. – Bernama