Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia pertimbang ambil tindakan terhadap Meta

    PUTRAJAYA, 23 JUN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan pihaknya tidak mempunyai pilihan selain mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta, syarikat induk Facebook, susulan kerjasama tidak memadai daripada Meta untuk menurunkan kandungan memudaratkan daripada platformnya.

    Menurut MCMC, platform Facebook sejak akhir-akhir ini telah dibelenggu dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja dan agama (3R), penyamaran, judi dalam talian serta iklan-iklan penipuan, sehubungan itu, MCMC telah menghubungi Meta untuk menurunkan kandungan yang dimaksudkan daripada platformnya.

    MCMC memaklumkan, di sebalik permohonan berulang kali daripada pihak MCMC, Meta gagal mengambil tindakan secukupnya dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan pada platform mereka dan tidak bekerjasama sepenuhnya dalam menurunkan kandungan tersebut.

    “Maklum balas pihak Meta yang lembab dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini telah mengundang kebimbangan dan penelitian awam.

    “Memandangkan tahap kerjasama yang diberikan oleh Meta adalah tidak memadai, pihak MCMC tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta sebagai langkah untuk memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

    MCMC memaklumkan tindakan berkenaan adalah perlu dalam menyemai kebertanggungjawaban untuk keselamatan siber selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan termasuk aktiviti penipuan. – Bernama

    Gambar fail menunjukkan logo Meta dilihat pada pameran Vivatech di Paris, Perancis pada 14 Jun lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda