PUTRAJAYA, 30 JUN – Kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan semula keputusannya sebelum ini untuk memberikan vaksin jenis Pfizer kepada golongan remaja, susulan laporan berlaku insiden kesan sampingan radang jantung dalam kalangan penerima terutamanya remaja lelaki.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan, akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu berkenaan.
“Kita sedang pantau perkembangan berkenaan kesan sampingan tersebut, tetapi ia tidak mengubah keputusan pemerolehan kita berkenaan Pfizer.
“Cuma ia ada kaitan sedikit dengan keputusan, sama ada kita nak bagi Pfizer pada golongan remaja disebabkan insiden radang jantung dalam kalangan remaja lelaki agak tinggi,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK di sini hari ini, yang turut disertai Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Khairy berkata, isu berkenaan kesan sampingan vaksin Pfizer telah dibentangkan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 kepadanya dan Dr Adham.
Terdahulu Agensi Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat, merancang untuk mengemas kini garis panduan pemberian vaksin COVID-19 jenis Pfizer dan Moderna kepada remaja dan golongan muda, selepas menemui kemungkinan risiko radang jantung.
Kerajaan pada 21 Jun lepas meluluskan pemberian vaksin Prizer kepada golongan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas. – Bernama