NEW YORK, 27 SEPT – Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk penyenaraian satu daripada anak syarikat Petronas untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih menarik.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Petronas Carigali ialah satu daripada calonnya, dan menurutnya juga terdapat kemungkinan lain.
“Pada ketika ini kami berpendapat menjual saham Petronas tidak akan membawa kebaikan kepada kerajaan kerana kerajaan perlukan Petronas untuk membantu kerajaan,” katanya dan menurutnya perkara itu mungkin dipertimbangkan kemudian.
“Tetapi apa yang kami telah persetujui adalah untuk melihat kepada anak-anak syarikat. Kami mungkin jual saham anak syarikat kerana ia tidak akan menjejaskan Petronas dengan banyak. Satu daripadanya ialah Carigali tetapi terdapat juga beberapa yang lain,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian pada sesi dialog dengan pengurus dana di ibu pejabat JP Morgan di sini pada Khamis.
Perdana menteri berada di sini untuk menghadiri Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ketika ditanya sama ada Khazanah Nasional Berhad akan terus digalakkan untuk menjual sahamnya dalam syarikat berkaitan kerajaan, beliau berkata: “Terdapat kawalan ke atas industri tertentu tetapi soal pembabitan kerajaan dalam perniagaan, kami sentiasa percaya bahawa kerajaan tidak patut terbabit dalam perniagaan. Kami tidak bagus dalam perkara itu.”
Dr Mahathir berkata adalah lebih baik untuk perniagaan dijalankan oleh ahli perniagaan.
“Ini masih menjadi dasar kami dan kami menjual banyak syarikat milik Khazanah,” katanya dan menurutnya syarikat yang mencatatkan pulangan baik tidak sewenangnya akan dijual. – Bernama