Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia rakan kongsi realisasikan aspirasi ekonomi Afghanistan

    KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Afghanistan, yang mahu memperkukuhkan hubungan dengan Malaysia, melihat negara ini sebagai rakan kongsi berpotensi untuk merealisasikan aspirasi ekonominya, kata Duta Afghanistan di Malaysia, Atiqullah Atifmal.

    Beliau berkata Afghanistan sedang mencari lebih banyak pelaburan asing, khususnya dari negara seperti Malaysia, untuk membantunya membangun lagi sekali gus melakar masa depan lebih baik.

    Duta itu mengalu-alukan penyertaan pelabur Malaysia dalam sektor perlombongan, pertanian, agro-pemprosesan, pembangunan infrastruktur dan teknologi maklumat Afghanistan.

    Beliau berkata, pelabur dalam sektor tersebut menikmati pemilikan 100 peratus bagi pelaburan mereka dan pajakan tanah jangka panjang pula sehingga 100 tahun.

    “Afghanistan kaya dengan sumber asli yang boleh dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonominya,” katanya kepada Bernama semasa sambutan ulang tahun kemerdekaan Afghanistan ke-98 di sini, semalam.

    Atiqullah berkata Afghanistan mempunyai deposit mineral yang terbukti belum diteroka bernilai sehingga AS$3 trilion (AS$1=RM4.28), “yang boleh menjadikan negara itu antara wilayah perlombonganterkaya di dunia”.

    Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), perdagangan dua hala antara Malaysia dan Afghanistan dijangka meningkat 10 peratus tahun ini daripada US$85.1 juta yang dicatat pada 2016, dengan dipacu peningkatan kerjasama antara kedua-dua negara.

    Pada Mei lepas, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslandilaporkan berkata produk minyak sawit dan pertanian berasaskan sawit merupakan eksport utama ke Afghanistan, menyumbang 90.6 peratus daripada keseluruhan eksport ke negara itu pada 2016.

    Beliau berkata syarikat dari Afghanistan telah menyertai dua projek pembuatan bernilai AS$2.28 juta di sini, yang mewujudkan 166 pekerjaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda