KUALA LUMPUR, 26 FEB – Malaysia telah mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada ulama terkemuka dunia tentang hukum pengambilan vaksin COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Katanya beliau telah menghantar surat kepada beberapa ulama terkemuka bagi memohon penjelasan tentang isu berkaitan vaksin, antaranya Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmedel-Tayeb, Mufti Mesir Shawki Allam dan Pengerusi Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu Syeikh Abdullah Ben Bayyah.
“Rata-rata mereka berfatwa bersandarkan kepada rujukan pakar (bidang kesihatan) bagi memastikan vaksin ini (vaksin COVID-19) selamat dan halal digunakan.
“Antara syarat fatwa juga ialah merujuk kepada ahli ikhtisas (bidang khusus),” katanya dalam Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Vaksin: Cegah Sebelum Kalah’ yang disiarkan secara langsung di TV 1 malam ini. – Bernama
