Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia serius bangunkan bakat teknologi – Gobind

    PUTRAJAYA, 28 JUN – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan terus mengkaji semula semua inisiatif sedia ada selain membangunkan dasar-dasar penting baharu dalam memastikan Malaysia sentiasa di depan dalam persaingan, terutama melibatkan pembangunan bakat teknologi, kata menterinya Gobind Singh Deo.

    “Kementerian amat memandang serius mengenai agenda pembangunan bakat teknologi,” katanya semasa melancarkan Data Futures Forum 2019: Shaping our Future Together-Towards a Data Enabled Society, di kampus Heriot Watt University Malaysia di sini hari ini.

    Gobind berkata satu daripada bidang penting dalam perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju adalah bakat.

    “Sebagai penggerak utama IR4.0 (Revolusi Industri Keempat), adalah kritikal bagi kita untuk menyediakan saluran bakat yang kuat bagi memanfaatkan peluang-peluang sosioekonomi yang terhasil daripada pelaksanaan pendigitalan dan teknologi pintar,” katanya.

    Memetik Laporan Bakat Digital Frost dan Sullivan yang ditauliahkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada 2017, beliau berkata permintaan terhadap bakat digital Malaysia dijangka tumbuh sebanyak 15 peratus setiap tahun yang memerlukan lebih daripada 540,000 pekerjaan menjelang 2020.

    “Bakat-bakat digital kini menerima permintaan yang tinggi dan dilihat akan tumbuh dengan lebih pesat pada tahun-tahun yang akan datang,” tambah beliau. – Bernama

    Gobind Singh Deo (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Program Data Futures Forum kelmarin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda