Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia, S’pura rancang lebih banyak pembukaan

    SINGAPURA, 29 NOV – Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan lawatan rasmi pertamanya ke negara jiran selatan Singapura sebagai berjaya.

    Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Singapura terutama rakan sejawatannya Lee Hsien Loong terhadap sambutan yang sangat mesra dengan semangat kekeluargaan. “Hubungan kedua-dua negara sangat rapat, sebagai sebuah negara jiran yang mempunyai sejarah begitu lama,” katanya dalam persidangan media bersama media Malaysia sejurus selepas lawatan berakhir.

    Ini merupakan lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke republik Singapura sebagai Perdana Menteri, sebagai memenuhi undangan Lee. Ia juga merupakan lawatan kedua Ismail Sabri ke negara jiran sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos lepas.

    Beliau yang tiba di sini awal pagi ini turut bersama Lee melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara dan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura di Woodlands Checkpoint.

    Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri berkata dalam pertemuan empat mata bersama Lee, pembukaan VTL laut yang menghubungkan Tanah Merah ke  Desaru dan juga ‘cruise’ dari Singapura ke Pelabuhan Klang dan Langkawi turut dibincangkan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong (kanan) ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan empat mata di Istana hari ini. Sidang media bersama itu disiarkan secara langsung menerusi laman Facbook Lee. – Bernama

    “Kita percaya pembukaan lebih banyak akan memberi faedah kepada seluruh negara, bukan saja dari segi pelancongan yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan malah kepada perdagangan,” katanya.

    Beliau berkata pembukaan sempadan bersama Singapura yang merupakan rakan dagangan Malaysia yang terbesar diyakini akan memberi tempias kepada Johor, khususnya dan kawasan bersempadan seperti Melaka yang juga merupakan destinasi pilihan rakyat Singapura.

    Perdana Menteri juga berkata kategori pengguna bagi VTL darat mungkin akan diperluas selepas 23 Disember ini, namun ia bergantung kepada kesan pembukaan fasa pertama VTL darat ketika ini.

    “Ia sebagai ‘trial basis’ atau percubaan awal untuk melihat kesan kepada pembukaan ini. Kita tidak mahu juga selepas pembukaan, timbul kes meningkat. Kita akan pantau, dan kita akan buka lebih banyak lagi.

    “Jika kes tidak meningkat, lebih banyak ruang yang akan kita berikan untuk melonggarkan perjalanan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

    Ketika ini inisiatif VTL darat hanya membenarkan pengguna yang merupakan warga Malaysia, Singapura, dan pemastautin serta pemilik Pas Jangka Panjang Singapura dan Malaysia.

    Ditanya adakah skim VTL  akan diperluas ke negara lain selain Singapura, Ismail Sabri berkata beliau berharap perbincangan dapat dilakukan dengan negara jiran di utara, Thailand.

    Beliau juga berharap untuk mewujudkan lebih banyak laluan seperti ‘green travel bubble’ dengan Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan sebahagian provinsi di China, yang kes COVID-19 di negara masing-masing dilihat terkawal. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda