Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia, S’pura setuju lancar zon ekonomi khas untuk tarik pelabur

    KUALA LUMPUR, 7 JAN – Pemimpin Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian hari ini untuk mewujudkan zon ekonomi khas bagi menarik pelaburan global dan juga memudahkan proses rentas sempadan untuk barangan dan orang ramai.

    Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelar zon ekonomi khas Johor-Singapura sebagai satu ‘inisiatif unik’ yang memanfaatkan kekuatan masing-masing dan mengeratkan lagi hubungan dalam dunia yang semakin terpolarisasi.

    “Sangat jarang awda dapati dua negara bekerja sama sebagai satu pasukan,” katanya pada sidang media bersama selepas majlis menandatangani perjanjian itu. “Kedua-dua negara ini mempunyai strategi yang sama (iaitu) untuk membantu antara satu sama lain, bekerja dan mendapat manfaat daripada kekuatan masing-masing. Ini adalah sikap baharu yang mesti kita ada selain daripada sering bercakap mengenai persaingan dan konflik yang tidak perlu.”

    Zon yang berada di Johor akan menawarkan pelepasan cukai dan termasuk beberapa kawasan utama untuk pelbagai sektor termasuk pembuatan, aeroangkasa, pelancongan, tenaga dan penjagaan kesihatan.

    Langkah berkenaan menyasarkan untuk menarik 50 projek dalam zon ekonomi dalam tempoh lima tahun pertama dan mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan mahir.

    Langkah itu juga adalah peluang yang baik kepada Singapura, iaitu hab kewangan global dengan sumber asli dan tanah yang terhad.

    Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pula berkata hubungan kukuh antara kedua-dua negara berjiran itu merupakan asas penting bagi wilayah bersepadu. Malaysia ialah pengerusi bagi 10 ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara pada tahun ini.

    “Bagi ASEAN, kita bercakap bukan sahaja tentang hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih banyak, tetapi hubungan infrastruktur termasuk grid kuasa ASEAN.

    “Ini semua adalah projek-projek bermanfaat yang akan disokong Singapura dan kami berharap di bawah kepimpinan Malaysia, kita boleh mencapai kemajuan yang baik,” kata Wong.

    “Persaingan yang lebih besar bakal kita hadapi bukanlah dalam kalangan kita dalam ASEAN, (tetapi) ia di luar rantau. Jadi ASEAN perlu bersatu, (dengan mencari) cara bagaimana kita boleh meningkatkan nilai dan daya saing kita bersama,” katanya. – AP

    Lawrence Wong (kiri) bercakap semasa sidang media bersama Anwar Ibrahim di Putrajaya, Malaysia hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda