M’sia tak mungkin dilanda jerebu

KUCHING, 10 JULAI – Malaysia dijangka tidak mungkin dilanda jerebu tahun ini berdasarkan teknik yang dibangunkan oleh saintis yang mampu meramalkan pencemaran jerebu di rantau ini, kata seorang fellow Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Dr Abu Bakar Jaafar.

Abu Bakar, yang juga profesor dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata berdasarkan penemuan itu, saintis, termasuk pakar kajian iklim, dapat menentukan sifat dan tahap kesan dari jerebu.

Beliau berkata melalui pengetahuan terkini yang diperoleh daripada indeks Musim Sejuk Monsun Asia Timur sebagai mekanisme ramalan, negara akan lebih bersedia menghadapi kejadian jerebu.

“Sebagai contoh, apabila terdapat perubahan besar dalam indeks bahagian standard atau indeks Musim Sejuk Monson Asia Timur menurun, kita akan dilanda jerebu seperti pada 1997, 2000, 2003, 2004, 2005 dan kejadian jerebu yang terakhir pada 2015, ” katanya pada sidang media selepas menghadiri bengkel dua hari mengenai jerebu dan pembakaran biomas di Asia di sini hari ini.

Turut hadir pengarah Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI) Sarawak Dr Lulie Melling dan pengarah program Institute for Applied Systems Analysis (IISA) of Air Quality and Greenhouse Gases yang berpusat di Austria, Dr Markus Amann.

Mengenai mekanisme untuk menangani jerebu, Abu Bakar berkata, ASM yang bekerjasama dengan TROPI, telah menghasilkan strategi untuk membuat ramalan kualiti udara dan iklim, pengurusan kawasan gambut dan cara menukar bahan alur menjadi tenaga. – Bernama