PUTRAJAYA, 31 JULAI – Malaysia sedang giat menerajui pelaksanaan projek pembangunan kapasiti bagi pengurusan pergudangan dan penyimpanan dalam usaha mewujudkan mekanisme untuk mengurangkan kerugian lepas tuai serta pembaziran makanan dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI).
Agensi itu berkata projek berkenaan juga bertujuan mengekalkan jaminan makanan dalam lingkungan negara-negara OIC.
Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Tanaman Industri, Program Pengendalian Lepastuai MARDI Dr Zaulia Othman berkata Malaysia dipilih untuk mengetuai projek bertajuk ‘Pembangunan Kapasiti bagi Pengurusan Pergudangan dan Penyimpanan’ semasa penyertaannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) OIC pada 2018.
“Selain memperkasakan petani dan persatuan menerusi sokongan pembangunan kapasiti dan latihan untuk meningkatkan akses mereka kepada kapasiti pergudangan dan penyimpanan, projek ini juga akan menentukan amalan terbaik dan syor bagi pengurusan benih dan hasil segar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. – Bernama