Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia, Thailand kerjasama banteras sindiket dadah di sempadan

    TAIPING, 24 OGOS – Malaysia mengukuhkan kerjasama dengan Thailand dalam memperhebat operasi membanteras aktiviti sindiket dadah, susulan harga dadah yang dilaporkan lebih murah di Sungai Golok, kata Menteri Dalam  Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Beliau berkata ia termasuk kerjasama dalam perkongsian maklumat, operasi bersama dan pembinaan kapasiti.

     “Laporan dari Thailand itu memang berada dalam pemakluman kita. Di pihak kita sendiri kita telah perketatkan penguatkuasaan kawalan di sempadan, hasilnya 212 pangkalan haram kita tutup.

     “Yang kedua kita tambah keanggotaan, kita bawa pasukan PGA (Pasukan Gerakan Am), kita tambah di kawasan itu, langkah ketiga kita kuat kuasakan Akta Imigresen iaitu lintas sempadan tanpa dokumen yang sah. Itu langkah segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di sini hari ini.

    Terdahulu Bernama melaporkan harga dadah yang jauh lebih murah di Sungai Golok, menjadikan bandar sempadan itu sebagai tumpuan penagih, termasuk rakyat Malaysia terutamanya dari Kelantan, sekali gus mendorong pihak berkuasa Thailand memperhebat operasi bagi membanteras aktiviti sindiket di kawasan itu.

    Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng berkata selain terkenal dengan kegiatan hiburan di malam hari, bandar itu kini turut menjadi lokasi utama penagih menyewa inap desa untuk melepaskan ketagihan.

    Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata walaupun beberapa siri tangkapan dan rampasan berjaya dilakukan namun aktiviti penyeludupan dadah di sempadan bersifat dinamik.

    “Kita ada beberapa kejayaan. Ia dinamik. Bila saya sebut kita tutup pintu masuk ataupun kita kawal, tutup (laluan) bekalan haram, kawal pintu sempadan negara, pintu rasmi dan juga jalan tikus ini di kawasan yang sebelah Kelantan tadi, aktiviti penyeludupan itu sampai ke Kedah pula. Kita menyaksikan ada sedikit peningkatan tangkapan. Jadi dia macam itulah kita perketatkan sana, dia masuk ikut jalan lain,” katanya.

    Bagaimanapun beliau memberi jaminan pasukan keselamatan terlibat akan sentiasa bersedia dan tidak ada sebarang kompromi terhadap aktiviti tidak bermoral tersebut.

    Saifuddin Nasution berkata pihaknya kini sedang meneruskan risikan dan intipan terhadap beberapa pempengaruh di negeri Kelantan, yang berselindung di sebalik kehidupan mewah sebagai satu usaha membanteras aktiviti penyeludupan dadah di negara ini. – Bernama

    Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjawab pertanyaan media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Tahun 2025 di Dewan Perdana Mukim Trong, Perak hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda