M’sia tolak pelan AS hos APEC

KUALA LUMPUR, 7 NOV – Amerika Syarikat (AS) sedang menimbang untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di negara itu, Januari depan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, beliau dimaklumkan menerusi komunikasi dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Bangkok, minggu lalu.

Menurutnya, Pompeo menghubungi beliau ketika di Bangkok dengan meminta pendirian Malaysia selepas Chile membatalkan sidang itu yang dijadualkan pada 16 dan 17 November ini ekoran ketegangan krisis politik dan protes besar-besaran di beberapa bandar raya utama negara itu.

“Tetapi saya memaklumkan kepada pegawai AS yang berada di Bangkok bahawa ia bukan idea yang baik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. – Bernama