KUALA LUMPUR, 28 MEI – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 memutuskan melaksanakan penutupan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh Malaysia selama 14 hari bermula 1 Jun ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan MKN.
“Keputusan dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 dengan jumlah kes harian mencecah 8,290 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat. Kewujudan varian-varian baharu lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan,” menurut kenyataan itu.
Sidang Khas MKN berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.
Kenyataan itu juga menyebut dengan peningkatan kes harian yang menunjukkan trend kenaikan mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad.
Kerajaan juga akan melaksanakan lockdown fasa kedua yang akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal, sekiranya fasa pertama berjaya mengurangkan kes harian COVID-19.
Fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.
“Setelah berakhirnya lockdown fasa kedua, langkah seterusnya ialah memasuki fasa ketiga iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini,” menurut Pejabat Perdana Menteri.
Ketika ini PKP dilaksanakan dengan aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan. – Bernama
