MSN mula dapatkan laporan Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 7 SEPT – Majlis Sukan Negara (MSN) Malaysia sudah mula mendapatkan laporan daripada jurulatih dan pegawai yang terlibat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, untuk tujuan ‘post-mortem’ temasya berkenaan.

Ketua Pengarah MSN Datuk AhmadShapawi Ismail berkata setelah selesai menerima laporan tersebut, pihaknya akan mengadakan bengkel dengan persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang terlibat.

Bagi Sukan Paralimpik yang baru menutup tirai pada Ahad lepas, proses itu dijangka bermula selepas pegawai dan jurulatih yang terlibat selesai menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Beliau berkata Jawatankuasa Penilaian dan Penambahbaikan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 akan melihat hasil laporan dan maklum balas yang diberikan oleh pihak berkepentingan seperti MSN, NSA, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

“Rumusan daripada jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk M NoorAzman Taib, akan dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk dijadikan panduan untuk perancangan menghadapi Olimpik dan Paralimpik seterusnya,” kata beliau ketika dihubungi hari ini. – Bernama