IPOH, 9 APRIL – Kerajaan Perak memperuntukkan RM1.92 juta bagi pembinaan kolam hidroterapi yang berperanan membantu proses pemulihan atlet secara lebih efektif, di samping meningkatkan prestasi mereka ke tahap optimum.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata kemudahan yang dibina pada Januari tahun lepas dan siap sepenuhnya Februari tahun ini adalah yang pertama dibina di peringkat Majlis Sukan Negeri (MSN) di Malaysia.
Beliau berkata pembinaan itu direalisasikan menerusi kerjasama antara Pejabat Kewangan Negeri Perak, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa agensi berkaitan.
“Kemudahan ini mempunyai dua fungsi iaitu kolam panas dan sejuk yang berperanan membantu mempercepatkan proses pemulihan atlet serta meningkatkan prestasi mereka ke tahap optimum.
“Selain itu, ia juga membantu mengurangkan tekanan pada sendi dan sesuai untuk atlet yang sedang menjalani proses rawatan serta pemulihan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kolam Hidroterapi MSN Perak dan Penyerahan Geran Bantuan Kepada Persatuan Negeri di Ipoh hari ini.
Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta lebih 500 tetamu jemputan terdiri daripada kakitangan MSN serta atlet negeri. – Bernama
