Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Pasukan Majlis Sekolah-Sekolah Sukan Brunei Darussalam (MSSSBD) Bawah 16 (B16) mengutip mata berharga selepas berjaya mengalahkan pasukan Arabic School pada persaingan Liga Bola Sepak Remaja HiTune Sport School 2024 di Padang FABD baru-baru ini.
Kejayaan itu menyaksikan pasukan MSSSBD mendaki satu tangga untuk memperbaiki kedudukan ketika liga bola sepak peringkat remaja itu menuju ke puncak persaingan.
Pada perlawanan itu, Ampuan Md. Izzul Hasif tidak menunggu lama untuk menembusi gawang pasukan Arabic School dengan menerusi rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan di minit ke-4.
Namun, pasukan Arabic School bangkit untuk menyamakan menerusi Md. Fakrullah Saifullah di minit ke-10 untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Pasukan MSSSBD memperoleh kelebihan jaringan apabila Muhd Aqil Haziq Jaafar berjaya manfaatkan ruang terhidang dengan bertindak menjadi penjaring di minit akhir babak pertama.

Sekali lagi, Ampuan Md. Izzul Hasif menjadi wira buat pasukan MSSSBD dengan memperdayakan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan yang menerjah gawang Arabic School pada minit ke-49.
Melihat semangat berpasukan yang ditunjukkan, Muhd Aqil Haziq Jaafar menambah jaringan sekali lagi membantu pasukan MSSSBD menang bergaya menerusi jaringan di minit ke-65 sekaligus menoktahkan kedudukan jaringan 4-1.
Jurulatih pasukan Arabic School, Haji Adee Suharde ketika ditemui menerima kekalahan anak buahnya secara positif sambil menyifatkan penyertaan pasukan berkenaan merupakan peluang terbaik untuk menampilkan potensi pemain-pemain.
“Sekolah Arab mempunyai ramai pemain-pemain yang berbakat dan sebilangan bermain untuk kelab-kelab, dan oleh itu pihak sekolah kesempatan dan memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai kelab untuk membentuk satu pasukan bagi mewakili sekolah,” jelasnya.
Sepanjang perlawanan, beliau turut mengakui sebilangan pemain berjaya menunjukkan potensi yang besar dan perlu digilap secara berterusan sambil berharap kejohanan ini akan diteruskan pada masa akan datang.