BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Universiti Pengurusan Sains (MSU) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan DD Animation Studio atau lebih dikenali sebagai Digital Durian yang merupakan pencipta dan penerbit program TV pra-pendidikan terkenal di Astro Ceria, Didi and Friends.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan universiti itu, majlis penandatanganan dihadiri oleh Presiden MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan dekan Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan (FISE), Sekolah Hospitaliti dan Seni Kreatif (SHCA) dan Sekolah Pendidikan dan Sains Sosial (SESS).
Menandatangani bagi pihak MSU ialah Naib Presiden Perhubungan Perindustrian dan Keusahawanan, Profesor Madya Dr Abdul Jalil Ghazali, manakala bagi pihak DD Animation Studio pula ialah Ketua Eksekutif dan Pengasas Bersama, Sinan Ismail.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha sama ini bertujuan untuk mempromosi dan memudahkan pengajaran, penyelidikan dan program latihan untuk kedua-dua belah pihak dengan warga MSU berpeluang untuk mengadakan penempatan kerja serta pembangunan profesional di sana.