KUALA LUMPUR, 10 JUN – Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memulakan latihan pasukan kebangsaan dengan penuh sabar.
Boling dan badminton adalah antara sukan tidak bersentuhan dan sukan tertutup yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yan bermula hari ini hingga 31 Ogos, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad.
Gelanggang boling boleh mula beroperasi bermula 15 Jun ini, bagi membolehkan orang ramai meneruskan dengan hobi mereka, tetapi pemain boling kebangsaan masih perlu menunggu panduan terperinci dan prosedur operasi standard (SOP) daripada KBS sebelum meneruskan latihan di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway.
Namun, Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata setelah menunggu dengan sabar selama hampir tiga bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac, pihaknya tidak ada masalah untuk menunggu lebih lama bagi tujuan keselamatan.
“Kami dengan sabar akan menunggu lampu hijau kerana kami tahu KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah berusaha keras untuk membawa kembali sukan ke landasan yang betul dan kami sangat menghargai usaha mereka.” – Bernama