Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    MTIC, MMN adakan perjumpaan muhibah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) akan sentiasa memastikan perancangan dan strategi termasuk dasar dan inisiatif terus diteliti bersama pihak-pihak berkepentingan supaya ia kekal relevan dengan visi kementerian untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara pintar terhubung seterusnya menyumbang kepada aspirasi-aspirasi dan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa menyentuh mengenai perkembangan sektor pengangkutan dan sektor infokomunikasi pada sesi Perjumpaan Muhibah MTIC bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Rombongan seramai 20 orang ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Chong Chin Yee telah menghadiri sesi perjumpaan tersebut.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary antara lain menyentuh mengenai status dan kemajuan dalam pelaksanaan strategi dan perancangan kementerian yang berlandaskan Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh.

    Menurut beliau, tumpuan asas kementerian adalah kekal ke arah menjamin keselamatan sektor pengangkutan dan alam siber; meningkatkan kesejahteraan orang ramai melalui penyediaan perkhidmatan yang cekap, bersih serta memanfaatkan teknologi; dan pemudah cara bagi mendukung pembangunan negara yang mampan.

    Rombongan MMN bergambar ramai bersama Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Sesi perbincangan yang diadakan di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan MTIC. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Yang Berhormat Dato turut menyentuh betapa pentingnya wawasan negara untuk terus diberikan perhatian.

    Majlis seterusnya mendengarkan ucapan balas daripada Yang Berhormat Chong Chin Yee.

    Semasa sesi tersebut, rombo-ngan MMN mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, mengenai perkembangan dan hala tuju pelan strategik MTIC 2025 Refresh termasuk status petunjuk-petunjuk prestasi (KPI).

    Hasil daripada semakan pertengahan penggal ke atas Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2025 juga dikongsikan bersama perkembangan projek-projek di bawah Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (CREATES).

    Selain itu, penerangan ringkas mengenai Fokus Utama 2024-2025 bagi jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawah kementerian itu turut disampaikan.

    Rombongan juga berkesempatan melawat pameran mengenai empat perkara utama iaitu Carta Risiko terkini dengan perkara-perkara yang boleh mengancam keberkesanan kementerian dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya, status perlaksanaan KPI, projek-projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) dan ristaan kementerian di sepanjang tahun 2023.

    Perjumpaan muhibah berkenaan merupakan forum perbincangan tahunan yang mana sesi kali ini juga merupakan kesinambungan kepada beberapa siri lawatan kerja yang diungkayahkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Jabatan Pengangkutan Darat, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan juga Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) serta Cyber Security Brunei (CSB) yang telah diadakan sebelum ini.

    Seterusnya, ia juga merupakan kesempatan untuk sama-sama bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman bagi merancang langkah-langkah ke hadapan ke arah mencapai cita kemajuan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda