Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    MTIC perkukuh kesedaran alam sekitar di Tutong

    Oleh Sim Y. H.

    TUTONG, 19 OKT – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Kempen Kebersihan Senegara 2025 di bawah Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan yang berlangsung di Pantai Seri Kenangan, Daerah Tutong, kelmarin.

    Hadir bagi sama-sama menyertai kempen berkenaan, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Kempen Kebersihan berkenaan disertai oleh seramai 215 orang di mana pencapaian itu jelas mencerminkan semangat kerjasama, kesedaran dan kepedulian yang tinggi terhadap kebersihan alam sekitar.

    Gambar atas & bawah, YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut mengambil bahagian kempen kebersihan berkenaan. -GAMBAR SERAHAN MTIC

    Kempen dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Tingkat 3, Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Abdul Raqib bin Haji Awang.

    Sementara taklimat ringkas yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Jabatan Pengangkutan Darat, Dayang Nur Hazimatul Azimah binti Haji Hamzah.

    Kempen itu merupakan salah satu usaha bersepadu dalam sama-sama menyokong inisiatif Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan (JIIK) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar.

    Gambar atas & bawah, antara yang sama-sama hadir pada kempen kebersihan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    Ia antara lain bertujuan memupuk nilai rasa tanggungjawab yang tinggi di kalangan penduduk kampung dan orang awam tentang pentingnya amalan mewujudkan suasana persekitaran yang bersih dan bebas pencemaran.

    Di samping itu, aktiviti berkenaan turut berperanan mengeratkan silaturahim dan meningkatkan perpaduan antara warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta penduduk setempat.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Haji Hairul Mohammad Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda