Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim bagi 1446H/2025M di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan MTIC, kelmarin.
Hadir pada majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian derma kepada anak-anak yatim ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir, Setiausaha Tetap, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Baqarah ayat 267 hingga ayat 271 oleh qariah negara iaitu Pegawai Pelajaran dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki.
Majlis disemarakkan dengan ceramah khas bertajuk, Jangan Renggangkan Hidup dengan Al-Quran yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.
Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada 30 orang anak yatim yang terdiri daripada ahli keluarga warga MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis itu merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan MTIC bagi memperingati peristiwa agung Nuzul Al-Quran di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai-pegawai kementerian serta memupuk sifat keprihatinan kepada golongan anak-anak yatim daripada kalangan warga MTIC.