Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan bagi Tahun 1446 Hijrah /2025 Masihi yang berlangsung di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku Katok, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang dikelolakan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir, setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua Jabatan, pengarah-pengarah bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Zohor berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Awang Murni bin Haji Nayan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary, diikuti dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas secara beramai-ramai.
Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Takhtim, Tahlil dan Doa Khatam yang dipimpin oleh Awang Murni, disusuli dengan Dikir Marhaban yang diketuai oleh kumpulan dikir EGNC.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati dan sumbangan wakaf berupa barangan keperluan masjid, yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary kepada Awang Murni selaku wakil dari masjid berkenaan.
Majlis berkenaan merupakan acara keagamaan tahunan kementerian yang diadakan sempena bulan Ramadan bagi menyemarakkan lagi keberkatan bulan suci ini. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan pembacaan Al-Quran dan mempererat ukhuwah dalam kalangan warga kerja kementerian, di samping merebut peluang untuk meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT.