Monday, July 8, 2024
23 C
Brunei

    -

    MTIC, UTB meterai MoU

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Univer-siti Teknologi Brunei (UTB) terus mengukuhkan serta memperluaskan lagi kerjasama yang telah wujud sejak 2014 dalam majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan MTIC, Jalan Menteri Besar, hari ini.

    Hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dan Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Dalam kata alu-aluannya, Ir Haji Mohammad Nazri menyatakan bahawa MTIC sangat mengalu-alukan inisiatif untuk mempergiatkan lagi usaha menjalinkan hubungan kerjasama di peringkat strategik bersama UTB.

    Dalam hubungan itu, ulasnya, MoU yang ditandatangani adalah diperluaskan dari segi skop kerjasama yang merangkumi kedua-dua bidang tugas di bawah MTIC.

    Beliau berkata matlamat utama memorandum persefahaman itu adalah berfungsi sebagai rangka kerja bagi menjalinkan kerjasama dalam inovasi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan sektor pengangkutan dan infokomunikasi.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dan Ir Haji Mohammad Nazri bergambar dengan dokumen MoU yang dimeterai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Melalui penandatanganan MoU berkenaan, tambahnya, ia akan dapat menggalakkan kerjasama di antara kedua-dua belah pihak dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama termasuk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), Mobiliti Pintar, Logistik Pintar, Kecerdasan Buatan (AI), Sekuriti Siber, Ekonomi Digital, Teknologi Digital, Sains dan Inovasi.

    Sementara itu, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dalam ucapbalasnya berkata penandatanganan kerjasama antara MTIC dan UTB dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 selaras dengan visi UTB iaitu untuk menjadi Universiti Global Masa Hadapan.

    Beliau juga menyatakan penghargaan kepada MTIC yang memberikan kepercayaan kepada UTB untuk melaksanakan kerja-kerja penyelidikan bagi membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi dengan menggunakan kaedah-kaedah yang terkini.

    Penandatanganan MoU itu juga, jelasnya, akan memberi nilai tambahan kepada keseluruhan ekosistem penyelidikan UTB dan MTIC.

    Semasa majlis berkenaan, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Strategi telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai hala tuju strategik MTIC yang menumpukan kepada Pelan Strategik MTIC 2025 Refresh, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2025, Kecerdasan Buatan (AI), Kerajaan Digital dan matlamat hala tuju masa hadapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua askar, enam suspek militan terbunuh dalam pertempuran di Kashmir

    NEW DELHI, 7 JULAI – Dua anggota tentera dan enam suspek militan terkorban dalam dua pertempuran berasingan di Kashmir yang ditadbir India, menurut polis, hari...