PUTRAJAYA, 22 SEPT – Kesiapsiagaan awal penting dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) susulan luruan angin yang membawa awan hujan beralih ke tujuh daerah di Sabah dan Sarawak berbanding kebiasaan yang melanda Pantai Timur Semenanjung, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, fenomena itu tidak harus dipandang remeh kerana kajian saintifik tidak dapat menentukan lokasi tepat kawasan yang bakal terjejas yang dipengaruhi oleh pemanasan global dan perubahan iklim.
“Oleh yang demikian, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sering memantau rapi pergerakan angin ini (susulan) fenomena La Nina yang menandakan bermulanya musim MTL,” katanya kepada Bernama pada sesi temu bual hari ini.
Ahmad Zahid berkata walaupun lazimnya musim itu berakhir awal Januari, namun tidak mustahil ia akan berpanjangan hingga awal tahun hadapan.
“… (atas sebab itu) kesiapsiagaan itu amat penting terutama apabila Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah dan negeri memberikan notifikasi untuk mereka (penduduk) berpindah lebih awal.
“Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ialah (pemindahan) dua hingga tiga hari lebih awal agar nyawa diselamatkan, dokumen-dokumen penting dan perkakasan rumah dapat dipindahkan terlebih dahulu,” katanya.
Ahmad Zahid menyifatkan kerjasama pelbagai pihak dalam menangani bencana banjir tahun ini sebagai lebih baik berbanding sebelum ini, hasil kordinasi rapi antara agensi penguatkuasaan dan badan sukarelawan. – Bernama


