Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    MTWG ke-48 bincang isu-isu maritim ASEAN

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Mesyuarat Kumpulan Kerja Pengangkutan Maritim ASEAN (MTWG) ke-48 telah dirasmikan hari ini di Bandar Seri Begawan dan akan berlangsung sehingga 8 Mei.

    MTWG merupakan badan pelaksanaan utama di bawah Mesyuarat Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN (STOM), yang bertanggungjawab menyelaras dan memacu inisiatif ASEAN dalam sektor pengangkutan maritim serantau.

    Majlis perasmian mesyuarat disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar.

    Dalam ucapan pembukaannya, beliau menzahirkan penghargaan atas penghormatan yang diberikan kepada Negara Brunei Darussalam untuk menjadi tuan rumah dan pengerusi MTWG bagi tahun kedua berturut-turut.

    Beliau menyatakan keyakinan bahawa MTWG ke-48 akan menjadi platform strategik bagi negara anggota ASEAN dan rakan dialog untuk menetapkan hala tuju masa depan agenda maritim ASEAN. Ini termasuk usaha meningkatkan kerjasama serantau, memperkukuh pendigitalan, serta menambah daya saing global dan ketahanan iklim sektor pengangkutan maritim.

    Sesi bergambar ramai bersama ketua-ketua delegasi ASEAN dalam acara tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Haji Mohd Salihin ketika menyampaikan ucapan pada mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Sekitar suasana Mesyuarat MTWG ke-48. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Delegasi-delegasi daripada Negara Anggota ASEAN. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Haji Mohd Salihin turut memuji pencapaian di bawah Pelan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur 2016–2025 (KLTSP), termasuk kejayaan memuktamadkan Perjanjian ASEAN mengenai Kerjasama Mencari dan Menyelamat Aeronautik dan Maritim serta Memorandum Persefahaman mengenai Piawaian Keselamatan Kapal Bukan Konvensyen. Menurutnya, kejayaan-kejayaan ini mencerminkan komitmen ASEAN terhadap kecemerlangan dan kerjasama serantau.

    Beliau menegaskan pentingnya kesinambungan dan kerjasama strategik dalam memastikan peralihan yang lancar ke Pelan Strategik Pengangkutan ASEAN (ATSP) 2026–2030 serta memperkukuh peranan kepimpinan ASEAN di peringkat maritim global.

    Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP), Kapten (B) Awang Zil Husam bin Haji Abdul Rahman, dalam ucapan alu-aluan beliau, menzahirkan penghargaan atas peluang menjadi tuan rumah mesyuarat kali ini.

    Beliau menekankan kepentingan perbincangan sepanjang dua hari mesyuarat dalam membentuk keutamaan maritim ASEAN.

    Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN, rakan dialog, organisasi serantau serta pihak berkepentingan industri atas sokongan berterusan dalam memperkukuh sektor pengangkutan maritim.

    Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pemangku Penolong Ketua Eksekutif PBMP, Haji Khairul Zaman bin Haji Abdul Jalil, menumpukan kepada kemajuan pelaksanaan KLTSP 2016–2025. Antara fokus utama ialah pembangunan Pasaran Perkapalan Tunggal ASEAN, kerjasama antara 47 pelabuhan utama, serta peningkatan kerjasama maritim serantau.

    Selain itu, mesyuarat turut membincangkan isu-isu maritim yang sedang muncul termasuk teknologi autonomi, penyahkarbonan dan pendigitalan. Pengerusi turut memuji kerjasama Brunei bersama Institut Maritim Malaysia (MIMA) dalam analisis prestasi pelabuhan serta sokongan Brunei terhadap pelaksanaan Guidelines for Realising Carbon Neutral Ports in the ASEAN Region, yang dijangka diterima pakai pada 2026 di bawah kerjasama ASEAN-Jepun.

    Negara Brunei Darussalam, melalui PBMP, akan terus mengetuai Mesyuarat MTWG ke-49 yang dijadualkan berlangsung pada akhir September 2025, sebelum menyerahkan jawatan pengerusi kepada Kemboja pada tahun 2026.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda