Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muafakat demi kebaikan bersama

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 14 Julai – Sebagai sebuah organisasi yang bersatu dan utuh, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Penanjong dan Persatuan Pemuda/Pemudi (PERDA) Kampung Penanjong perlu bermuafakat dan bekerjasama ke arah menyatukan masyarakat kampung khususnya demi kebaikan dan manfaat bersama.

    Ketua Kampung Penanjong, Haji Jumaat bin Haji Abdul Kadir selaku pengerusi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika berucap di Dewan Serba guna Serambangun, petang tadi berkata, semangat kekitaan itu perlu diterapkan dalam diri kerana ia dapat menentukan keharmonian sesebuah organisasi, kampung dan seterusnya negara,

    Di samping itu, Ketua Kampung Penanjong juga berharap penduduk kampung hendaklah sedar bahawa mereka juga mempunyai peranan yang besar bagi mewujudkan suasana kampung yang harmoni serta perlu bersatu padu, hormat-menghormati dan cintakan kampung.

    Beliau menegaskan penduduk kampung perlu mengelakkan sikap negatif yang akan menimbulkan amalan masyarakat yang hidup berpuak-puak dan seterusnya melemahkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat sesama sendiri dan akhirnya membawa kepada perpecahan di kalangan penduduk-penduduk kampung.

    Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan pada tahun ini telah dianjurkan oleh MPK Penanjong melalui Biro Kesenian dan Kebudayaan yang dikendalikan bersama PERDA Kampung Penanjong.

    Awang Shamsul Bahrin (kanan) dan Haji Jumaat pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serba guna Serambangun.
    Awang Shamsul Bahrin (kanan) dan Haji Jumaat pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serba guna Serambangun.
    Persembahan nyanyian daripada AJK MPK dan PERDA Kampung Penanjong.
    Persembahan nyanyian daripada AJK MPK dan PERDA Kampung Penanjong.

    Majlis itu kemudian dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada ahli-ahli jawatankuasa (AJK) MPK dan PERDA, serta persembahan karaoke dan cabutan bertuah.

    Majlis seterusnya mengadakan segmen kenangan lalu yang disampaikan oleh Haji Ramlee bin Tunggal dan diselajurkan dengan penyampaian sijil pelantikan ahli MPK Penanjong Tutong bagi sesi 2017-2021.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain dan isteri.

    Adapun tujuan majlis ini diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan silaturahim bersama ahli MPK dan PERDA Kampung Penanjong serta mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan antara ahli MPK, PERDA dan penduduk kampong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda