Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mualaf berhimpun semarakkan selawat untuk Rasulullah SAW

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Seramai 150 orang Mualaf dalam Majlis ‘Mualaf Berselawat Untukmu Rasulullah’ hari ini, telah berhimpun bagi menzahirkan kecintaan yang mendalam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    Acara yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie, itu dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf), Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Pengarah Pusat Dakwah Islamiah Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir, pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah, Yang Di-Pertua Persatuan-Persatuan Saudara Baru, serta Mualaf dari seluruh daerah.

    Pengarah Pusat Dakwah Islamiah Awang Haji Abdul Rajid, hadir selaku tetamu kehormat majlis.

    Antara objektif penganjuran majlis ini adalah untuk mendorong saudara-saudara baru agar merebut fadilat dan kelebihan amalan berselawat serta mencontohi akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW dalam menjalani kehidupan seharian.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Awang Haji Muhammad Nabil Hakim bin Haji Muhammad Nabil Hafizuddin dari Persatuan Nurul Islam.

    Kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pegawai Ugama, Dayang Nurhikmah binti Haji Idris, yang juga selaku Pemangku Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Pusat Dakwah Islamiah.

    Majlis diserikan dengan ceramah bertajuk “Basmalah dan Kerisauan Nabi SAW” disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid.

    Dalam ceramah beliau antara lain menjelaskan bahawa “Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan. Baginda mengajarkan kita untuk memulakan setiap urusan dengan basmalah, bukan sekadar sebagai adab, tetapi sebagai tanda kasih sayang dan kerisauan terhadap umatnya. Baginda ingin umatnya sentiasa dihubungkan dengan nama Allah agar setiap langkah hidup dilindungi, diberkati, dan tidak terjerumus dalam lalai.”

    Awang Muhammad Syahirul Syafiq menyampaikan tajuk ceramah “Basmalah dan Kerisauan Nabi SAW”.

    Beliau seterusnya menyatakan “Kerisauan Nabi Muhammad SAW bukan hanya berupa perasaan, tetapi diterjemahkan melalui ajaran-ajaran yang membawa kebaikan dunia dan akhirat”.

    “Mengajarkan basmalah kepada umat adalah salah satu bukti bahawa Baginda sangat peduli agar sekecil-kecil amalan pun tidak kosong daripada ingatan kepada Allah SWT”.

    “Sebagai umat, meneladani Baginda bukan hanya dengan mengamalkan basmalah pada permulaan pekerjaan, tetapi juga dengan menyemai rasa peduli terhadap sesama manusia juga menginginkan kebaikan untuk mereka sebagaimana Nabi Muhammad SAW menginginkan kebaikan untuk kita semua”, jelasnya.

    Majlis ini turut disemarakkan dengan alunan Selawat Jibril oleh gabungan ahli-ahli Persatuan Saudara-Saudara Baru dari seluruh negara.

    Manakala bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebanyak tiga kali dikumandangkan, dan majlis diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Muhaimin bin Zulkifli dari Persatuan Saudara-Saudara Baru Daerah Temburong.

    Antara yang hadir di majlis itu. – GAMBAR-GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda