Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muat naik gambar peluru untuk tarik perhatian isteri

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Seorang lelaki yang didakwa memiliki peluru menukar pengakuan kepada ‘bersalah’ di Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.

    Mohammad Zulhilmi bin Mohd Hussin, 39, yang didakwa memiliki peluru antara 22 Februari dan 3 Mac 2020 di rumahnya di RPN Kampung Panchor Mengkubau membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar.

    Hukuman ke atas tertuduh akan diketahui pada 21 Mei 2020.

    Menurut fakta kes, tertuduh sebelum ini pernah berkhidmat sebagai anggota beruniform antara tahun 1999 sehingga 2008.

    Gambar-gambar peluru yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook di bawah nama Saltinawati Tina telah menggerakkan polis untuk menjalankan siasatan pada 2 Mac 2020, yang kemudian membawa tangkapan tertuduh dan isterinya pada keesokan harinya.

    Siasatan di kediaman mereka menemukan kotak yang mengandungi 21 butir peluru yang disimpan dalam beg.

    Sebelum penemuan itu, isteri tertuduh telah keluar dari rumah mereka pada 20 Februari 2020 dan tinggal berasingan.

    Kedua-dua mereka menghadapi masalah rumah tangga.

    Ketika disoal siasat mengenai peluru tersebut, tertuduh memberitahu ianya untuk menarik perhatian isterinya supaya pulang ke rumah mereka.

    Manakala isteri tertuduh, Saltinawati binti Haji Abu Bakar, 43, yang berdepan tuduhan memiliki 21 butir peluru dari tahun 2014 sehingga 20 Februari 2020 masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

    Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda