Sering dilihat mengenakan pakaian dengan warna sedondon bersama Bella Astillah, pelakon Muaz Zabir menyifatkan ia adalah kebetulan sahaja.
Muaz menafikan, dia dan Bella sentiasa merancang untuk mengenakan pakaian sedondon ketika hadir acara hiburan termasuk majlis pengumuman Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36, semalam.
“Sebenarnya, ini hanya satu kebetulan sahaja. Ketika majlis pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 pun kebetulan kami mengenakan warna pakaian sama.
“Tapi, percayalah kami tak pernah merancang atau saya ajak Bella untuk pakai warna sama. Lagipun, putih memang warna pilihan saya dalam kebanyakan acara dihadiri,” katanya yang ditemui BH Online pada majlis pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South, semalam.
Semalam, Muaz dan Bella hadir mengenakan busana rona putih, sekali gus mengundang pertanyaan ramai sama ada mereka ‘berjanji’ untuk tampil sedondon.
Pada masa sama, Muaz mengaku, dia hanya menganggap Bella sebagai kawan biarpun pelakon dan penyanyi itu kini bukan lagi isteri orang.
“Saya tak pernah anggap ia sebagai satu peluang yang perlu direbut, tapi apa yang boleh saya cakap, kami hanya berkawan.
“InsyaAllah, kami ada projek bersama dalam masa terdekat dan akan berjumpa nanti. Jadi, tak bolehlah bermasam muka, sebaliknya kami jalani kehidupan seperti biasa dan buat yang terbaik,” katanya. – Agensi