KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini, laman Twitter mulai ‘meriah’ dengan ribuan ciapan menggunakan tanda pagar, #CarpoolGE15, memaparkan persediaan pengundi di Malaysia termasuk perancangan untuk ‘balik kampung’ bagi memilih wakil rakyat masing-masing.
Melalui tanda pagar tersebut, jelas terpancar keterujaan rata-rata pengundi untuk menyediakan perkhidmatan berkongsi kenderaan dan mencari individu yang menawarkan perkongsian kereta ke lokasi sama bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Dalam keterujaan itu, perlu diingatkan bahawa aspek keselamatan harus diutamakan pengguna terutamanya golongan wanita bagi mengelak berlaku kejadian jenayah.
Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim menasihatkan pengguna perkhidmatan itu agar tidak terlalu mudah berkongsi maklumat peribadi termasuk lokasi kediaman memandangkan ketika ini pelbagai taktik digunakan penjenayah untuk menjerat mangsa.
“Sebenarnya inisiatif ini untuk kemudahan, tetapi kita sebagai pengguna perlu pastikan ia sah di sisi undang-undang (berdaftar).. kita perlu semak, kalau tidak pasti tahap keselamatan menggunakan perkhidmatan ini, sebaiknya jangan gunakan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Menyifatkan maklumat peribadi sebagai sesuatu yang bernilai, Shahul Hamid yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang kriminologi berkata ia tidak sepatutnya didedahkan dengan mudah kepada orang tidak dikenali.
“Ingatan ini untuk keselamatan bersama kerana zaman sekarang kena lebih berhati-hati sebab ada saja pihak akan ambil kesempatan lebih-lebih lagi dalam keadaan kita memerlukan, takut dirompak, kena scam (penipuan),” kata penganalisis jenayah berusia 68 tahun itu.
Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Hazani Ghazali berkata PDRM khususnya Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik sentiasa memantau perkhidmatan terbabit dari semasa ke semasa demi kepentingan pengguna.
Bagaimanapun, sekiranya pengguna was-was terhadap perkhidmatan kongsi kereta yang ditawarkan, mereka dinasihatkan untuk memilih pengangkutan awam sebagai alternatif.
Senada dengan Hazani, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata khidmat kongsi kereta sememangnya mempunyai manfaat dan memudahkan pengundi yang memerlukan kenderaan namun perlu sentiasa mematuhi tip keselamatan yang dikeluarkan pengendali perkhidmatan terbabit.
“Saya rasa, jika mereka hendak balik mengundi, tiada masalah dan perlu berwaspada,” katanya.
Sementara itu, pengasas bersama #CarpoolGE15 Khairul Nizam Bakeri, 38, berkata walaupun perkhidmatan berkenaan tidak didaftarkan secara rasmi dengan pihak berkuasa, namun pihaknya memberi jaminan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
“Alhamdulillah tiada kes berkaitan jenayah membabitkan pemandu serta penumpang. Kami juga sentiasa sebarkan peringatan dan tip keselamatan di akaun Twitter kami. Paling penting kami sering ingatkan agar pemandu atau penumpang wanita untuk tidak melakukan perjalanan seorang diri,” katanya.
Bercerita lanjut, #CarpoolGE15 tercetus pada PRU14 bertujuan membantu memudahkan dan menjimatkan kos pergerakan pengundi untuk pulang ke kawasan pengundian masing-masing. – Bernama