Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Seramai 90 orang dari usia tiga tahun hingga 60 tahun telah menyertai Bengkel Stick’Em yang diadakan untuk menjadikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (STEAM) inklusif dan boleh diakses oleh semua, yang berakhir kelmarin dengan majlis penutup di Pusat Belia, di ibu negara.
Ia dianjurkan oleh Women TechMakers dan Google Developer Group Brunei, dengan sokongan Majlis Belia Brunei (MBB) dan Stick’Em.
Stick’Em merupakan organisasi berwawasan khusus untuk merevolusikan pendidikan STEAM melalui kit mampu milik dan sumber dalam talian yang inovatif.
Misi mereka adalah untuk memperkasakan pelajar dari semua peringkat umur dan latar belakang bagi menjadi penyelesai masalah abad ke-21.
Para peserta bengkel adalah daripada kumpulan yang pelbagai termasuk pelajar, guru, ibu bapa, dan ahli-ahli SMARTER Brunei, yang berpeluang meneroka secara langsung dunia STEAM melalui aktiviti menarik yang dikendalikan oleh Stick’Em.
Bengkel mempamerkan dedikasi Stick’Em terhadap keterangkuman dengan menempatkan peserta dari pelbagai peringkat umur.
Selain itu, pembelajaran juga diadakan secara amali di mana para peserta mendalami latihan pembinaan praktikal, daripada membuat bentuk mudah kepada membina robot mereka sendiri, dan pendidik meninggalkan bengkel dengan dilengkapi alatan dan ilmu berharga tentang penyepaduan kit STEAM ke dalam pengajaran mereka.