Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – ASEAN perlu mengutamakan inisiatif-inisiatif rancangan pemulihan segera bagi mengatasi kesan COVID-19, seperti memudahkan sekatan antara negara-negara anggota dengan mengembangkan modaliti seluruh rantau yang boleh dimulakan secara dua hala bagi membina keyakinan nasional serta keyakinan pelbagai hala dalam ASEAN.
Dengan keyakinan itu, ia akan membolehkan penggiatan semula ekonomi serantau dengan mendahulukan pergerakan profesional bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan penting dapat diteruskan, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan menyertai para pemimpin ASEAN lainnya bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang bertemakan Cohesive and Responsive ASEAN melalui persidangan video yang berlangsung dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, hari ini.
Titah Baginda lagi, penggiatan semula itu termasuk memastikan pergerakan barangan sentiasa terbuka dan rantaian bekalan tetap terjalin dan memperdalam integrasi ekonomi bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN.
Pada sesi pleno sidang tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut bertitah bahawa ASEAN telah berjaya menangani banyak cabaran melalui kerjasama rapat sambil mengutamakan rakyatnya dalam perspektif serantau dan kerjasama itu perlu diteruskan lagi dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Memandangkan ketidaktentuan geo-politik pada masa ini, ASEAN mesti memupuk kerjasama yang lebih kukuh dan berkepelbagaian demi memajukan lagi pencapaiannya sebagai sebuah komuniti, termasuk melibatkan rakan-rakan kongsi secara strategik, mengekalkan pemusatan ASEAN, dan membina kepercayaan dan keyakinan terhadap rantau ini.
Terdahulu sebelum itu, Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc selaku pengerusi ASEAN bagi tahun 2020, semasa menyampaikan ucapan pada sesi pleno tersebut antara lainnya menekankan ASEAN menunjukkan komitmen yang kuat untuk mencapai integrasi ASEAN di sebalik COVID-19.
Pengerusi ASEAN juga memuji tekad ASEAN dalam memikul tanggungjawab untuk memerangi pandemik tersebut, sekali gus menunjukkan kedayatahanan komuniti ASEAN.
Di samping itu, pengerusi ASEAN juga menekankan keperluan untuk menegakkan pemusatan, mempromosikan Treaty of Amity and Cooperation (TAC), menetapkan Code of Conduct (COC) di Laut China Selatan dan komitmen terhadap undang-undang antarabangsa termasuk United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).
Pada sidang kemuncak itu, para pemimpin juga mendengarkan laporan perkembangan ASEAN daripada Tuan Yang Terutama Setiausaha Agung ASEAN; dan laporan Pengerusi Majlis Koordinasi ASEAN (ASEAN Coordinating Council) mengenai tindak balas usaha sama ASEAN terhadap COVID-19 daripada Tuan Yang Terutama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Republik Sosialis Vietnam.
Pada akhir persidangan itu, para pemimpin ASEAN meluluskan Kenyataan dan Deklarasi: ASEAN Chairman’s Statement of the 36th ASEAN Summit; ASEAN Leaders’ Vision Statement on a Cohesive and Responsive ASEAN dan ASEAN Declaration on Human Resources Development for the Changing World of Work. Sebelum persidangan video tersebut bermula, satu Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 telah berlangsung bagi mengalu-alukan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang antara lainnya memaparkan persembahan kebudayaan dan lagu tema ASEAN, ‘The ASEAN Way’.
Ini diikuti dengan ucapan pembukaan daripada Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam dan pengerusi ASEAN serta tayangan video mengenai ASEAN.