BERLIN, 1 NOV – Thomas Mueller berkata Bayern Munich harus membalas kritikan selepas penyingkiran mengejut di Piala Jerman dengan mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara mengatasi Benfica pada Rabu ini.
“Apabila FC Bayern tersingkir dalam saingan piala itu dengan kekalahan 0-5, ia amat jelas bahawa satu atau dua komen yang diberikan terhadap aksi di luar tahap sebenar kami itu,” kata Mueller.
Pemain berusia 32 tahun itu menjaringkan gol dan tiga kali membantu menghasilkan jaringan ketika Bayern menewaskan Union Berlin, 5-2 pada Sabtu lalu untuk kekal di puncak Bundesliga tiga hari selepas tersingkir daripada saingan Piala Jerman apabila tewas 0-5 di tangan Borussia Moenchengladbach.
Dalam saingan Eropah, Bayern memungut lima mata dalam Kumpulan E dan kemenangan ke atas pasukan di tangga kedua Benfica dapat memastikan satu tempat dalam kelompok 16 terakhir dalam saingan Liga Juara-Juara.
Bayern dikritik hebat kerana kekalahan mengejut dalam saingan piala domestik di mana Mueller mahu menggunakannya sebagai motivasi tambahan menjelang perlawanan.
“Kritikan itu bagi saya boleh diterima, kami tidak mudah melatah – anda harus menerimanya kadang kala, tetapi kami tidak boleh lupa bahawa kami masih berpeluang memenangi piala,” kata Mueller.
“Kami tidak hanya tewas dalam perlawanan tetapi (tersingkir) dari pertandingan dan ia memberi kesan yang sangat besar buat kami. Kami harus menghadapinya.” tambahnya.
Penyerang Bayern, Robert Lewandowski, yang meledak dua gol di Berlin pada Sabtu, bersedia untuk melakukan penampilan ke-100 di Liga Juara-Juara.– AFP
