BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, semalam, telah bertolak ke Perak Darul Ridzuan, Malaysia bagi memenuhi jemputan untuk membentangkan ‘Kertas Kerja Utama’ di Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda.
Majlis tersebut akan diadakan esok di Aman Jaya Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak.
Yang Berhormat Pehin disertai oleh tiga orang pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan iaitu Pemangku Ketua Buhuth, Haji Mas Reduan bin Haji Jumat; Pegawai Istinbat, Haji Jakaria bin Haji Itam dan Ketua Teknik Penerbitan, Awang Osman bin Abu Bakar.
Menurut kenyataan yang diberikan, objektif utama muzakarah berkenaan adalah sebagai forum utama bagi mengupas dan mengimplementasikan idea, inspirasi dan perancangan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak sebagai Ketua Agama bagi Negeri Perak Darul Ridzuan.

Di samping itu, muzakarah juga dirancang sebagai medium bagi membincangkan persoalan semasa ummah secara tuntas dan penyelesaiannya serta merancang strategi pengukuhan yang mampan.
Ia juga dijadikan platform para cendiakawan, agamawan dan professional untuk mencetus, merangka dan merancang sesuatu yang praktis dalam membangunkan ummah.
Muzakarah berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
Dijangka turut berangkat ialah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa.