Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, hari ini, telah menerima kunjungan ziarah daripada guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM), Kampung Perpindahan Mentiri.
Kunjungan tersebut diadakan di pejabat Yang Berhormat Pehin di Darulifta Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan (JMK).
Rombongan yang terdiri daripada 13 orang itu diketuai oleh pengerusi PIBG sekolah bekenaan, Haji Zulkifli bin Haji Gadong, di mana mereka telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran JMK, Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman berserta beberapa orang pegawai dari jabatan berkenaan.
Antara lain tujuan kunjungan tersebut adalah sebagai tanda ingatan dan kenangan kepada Yang Berhormat Pehin sempena Jubli Mutiara (30 tahun) tertubuhnya sekolah tersebut pada 1994.
Yang Berhormat Pehin dalam ucapan nasihatnya semasa menerima kunjungan itu antara lain telah menggariskan akan pentingnya persaudaraan seagama dan perlunya penuntut-penuntut diterapkan dengan pendidikan agama dan akhlak sejak kecil lagi.