Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, kelmarin telah menerima kunjungan hormat dua orang ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baharu dilantik.
Kunjungan tersebut berlangsung di pejabat Yang Berhormat Pehin di Darulifta Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan.
Dua perwakilan yang baharu dilantik itu adalah Tuan Yang Terutama Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Emiriah Arab Bersatu, dan juga Puan Yang Terutama Dayang Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura.
Tuan dan Puan Yang Terutama berkenaan telah dikurniakan Surat Watikah Pelantikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 17 Ogos lalu di Istana Nurul Iman.


