Friday, January 24, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhammad Asyraf pukau panel hakim

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 8 Feb – Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong melalui Jabatan Sains, baru-baru ini, telah mengadakan Simposium Belia Sains ke-4 yang dimenangi oleh Awang Muhammad Asyraf bin Zulkipli.

    Setelah berjaya meyakinkan panel hakim dan memukau penonton dengan penjelasan ‘Bagaimana Ciptaan Komunikasi Satelit Telah Menjadi Salah Satu Daripada Idea-idea yang Paling Penting yang Mengubah Dunia untuk Kualiti Hidup Kita’, Awang Muhammad Asyraf tampil sebagai penyampai terbaik.

    Manakala tempat kedua disandang oleh Dayang Nurul Afiyah Huang binti Mohammed Faiz Nabil yang membentangkan mengenai ‘Induced Pluripotent Stem’ (IPS), sel-sel yang pertama kali ditemui oleh dua orang saintis Jepun.

    Dayang Zulfah Zuhairah pula mendapat tempat ketiga dengan menumpukan mengenai baja yang banyak membantu para petani untuk meningkatkan hasil tanaman dan memberikan penyelesaian kepada dunia mengatasi kelaparan.

    Ketua Jabatan Sains PTE Tutong, Dayang Nurdiayanah Goh Abdullah semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya selaku pengerusi menjelaskan bahawa simposium bertema ‘World-Changing Ideas’ itu menyediakan platform kepada para pelajar untuk membuat penyelidikan dan memperkenalkan mereka kepada tuntutan pendidikan yang lebih tinggi.

    Tiga pembentang Simposium Belia Sains kali ke-4 bergambar bersama Dayang Nurdiayanah Goh selaku pengerusi simposium.

    Persaingan seperti ini, tambahnya, juga dapat membantu mengasah kemahiran pelajar untuk berani tampil ke hadapan untuk berkomunikasi secara saintifik dengan berkesan.

    Simposium pada tahun ini seterusnya memberi penghormatan istimewa kepada Bryan David Haysum iaitu salah seorang tutor Biologi pusat berkenaan yang akan menamatkan perkhidmatannya dalam masa beberapa bulan. Beliau merupakan bekas ketua di Jabatan Sains ketika simposium pertama diadakan pada 2014.

    Acara berkenaan disokong oleh sukarelawan pelajar yang merupakan sebahagian daripada organisasi kolej, Forum Sains Belia PTET (PTET YSF).

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai simposium berkenaan, pelajar-pelajar dan para pensyarah boleh melayari laman sesawang www.ptetyouthscienceforum.wordpress.com.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda