Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhammad Azeem dijangka ke Sukan Sea Thailand

    KUALA LUMPUR, 7 MAC – Jaguh pecut Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, dijangka bertanding di temasya Sukan SEA Thailand pada Disember ini, kata Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard.

    Beliau berkata selain temasya dwitahunan, atlet berusia 20 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu juga akan menyertai beberapa kejohanan seperti Sukan Universiti Dunia di Jerman pada Julai dan Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun pada September.

    “Kami sangat berharap Muhammad Azeem akan bertanding di Sukan SEA. Tapi ia bergantung kepada jadual pengajiannya di AS.”

    “Saya juga telah berbincang dengan jurulatih beliau. Kami amat teruja dengan rekod kebangsaan baharu dan apa boleh dicapai pada musim ini,” katanya baru-baru ini.

    Muhammad Azeem memulakan musim ini dengan cemerlang apabila mencatatkan rekod kebangsaan baharu bagi acara 60 meter dalam dewan dengan 6.56 saat, untuk meraih pingat gangsa di Kejohanan SEC Indoor Track and Field 2025, pada Ahad lepas.

    Pencapaian itu melayakkan beliau ke Kejohanan NCAA di AS pada 14 hingga 15 Mac ini.

    Untuk rekod, Muhammad Azeem membuat penampilan pertamanya di Sukan SEA 2021 di Vietnam, namun tidak menyertai Sukan SEA 2023 di Kemboja bagi memberi tumpuan kepada latihan dan pertandingan di AS. – Bernama

    Muhammad Azeem Fahmi, bertanding dalam pusingan 100m lelaki acara olahraga di Sukan Olimpik Paris 2024 di Stade de France di Saint-Denis, pada 3 Ogos 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda