Thursday, March 13, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhammad Azeem, pilihan utama wakili Malaysia di Universiade 2025

    KUALA LUMPUR, 12 MAC – Pelari pecut Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, berada dalam radar sebagai antara prospek utama untuk menggalas cabaran negara di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2025 Rhine-Ruhr di Jerman, menurut Ketua Kontinjen Pasukan, Datuk Prof Madya Ts Dr Mohd Hafiz Yusoff.

    Namun beliau menjelaskan pemilihan akhir masih bergantung kepada perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), bagi memastikan tiada konflik jadual dengan kejohanan lain selain mengambil kira prestasi dan tahap kecergasan semasa atlet.

    “Muhammad Azeem memang antara dalam senarai calon, tetapi kami perlu melakukan verifikasi dan semakan dengan MSN, bagi mengelakkan sebarang pertindihan jadual. Itu yang menjadi keutamaan kami.

    “Jika prestasinya baik dan dia bebas daripada kecederaan, insya-Allah kita akan bawa pasukan terbaik ke Jerman tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), malam tadi.

    Mohd Hafiz berkata Jawatankuasa Kontinjen Malaysia akan mengadakan bengkel pemilihan atlet bagi menyenarai pendek 60 atlet yang akan bertanding dalam tujuh daripada 19 acara yang dipertandingkan di Universiade 2025.

    Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara memanah, olahraga, badminton, terjun, gimnastik artistik, renang dan taekwondo.

    “Sasaran dan pencapaian kontinjen akan diumumkan kemudian, kerana kami masih dalam proses pemilihan atlet dengan menilai prestasi semasa mereka berdasarkan input daripada MSN dan Pusat Kecemerlangan Sukan Universiti.” – Bernama

    Muhammad Azeem, atlet pelari pecut Malaysia, ketika beraksi di Olimpik, Paris 2024. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda