Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Brunei Darussalam (UBD SBE) telah menganjurkan Pertandingan Tesis 3 Minit (3MT) buat kali kedua baru-baru ini secara dalam talian melalui Zoom.
Menurut kenyataan yang diberikan, pertandingan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar di mana peserta bersaing dengan menyampaikan penyelidikan mereka kepada penonton bukan pakar dalam masa 3 minit.
Seramai 16 orang pelajar PhD dari UBD SBE dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) menyampaikan pidato yang menarik tentang tesis mereka dan kepentingannya.
Pelajar UBD SBE, Awang Muhammad Azmi Sait yang mengambil PhD dalam Pengurusan, memenangi hadiah pertama berupa wang tunai $1,000 dengan pembentangan mengenai Investigating Antecedents to e-Wallet Adoption Case: Brunei Darussalam.
Edward Tee Check Hwa yang menyentuh mengenai Measuring the State of Information Technology Adoption of Public Sector Organizations in Brunei Darussalam pula mendapat tempat kedua sekali gus memenangi $500.

Penonton juga mengundi bagi People’s Choice Award, yang dimenangi oleh Aishath Shahudha Abdulla dengan ucapannya mengenai Risk Dynamics and Financial Stability in Asia.
Dekan UBD SBE, Dr Haji Masairol bin Haji Masri mengetengahkan populariti
3MT dalam dunia akademik. Pertandingan 3MT berkenaan pertama kali diadakan di Universiti Queensland pada 2008, menyaksikan 160 pelajar bertanding.
Sejak itu, semangat untuk konsep 3MT telah berkembang dan persaingan tersebut kini telah diterima pakai di 65 buah negara di luar Australia.
UBD SBE telah menyertai senarai institusi yang dibenarkan menggunakan logo dan jenama 3MT.
Ia menganjurkan pertandingan 3MT pertamanya pada 2018, dengan lapan orang peserta.