Thursday, March 20, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhammad Hafiz sedia pertahan gelaran di Terbuka Malaysia

    PETALING JAYA, 19 MAC – Pemain boling kebangsaan Malaysia, Muhammad Hafiz Zainuddin, menganggap usahanya untuk mempertahankan gelaran dalam Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2025, sebagai pertarungan antara dirinya dan jatuhan pin kerana segala kemungkinan boleh berlaku sepanjang edisi ke-43 yang berlangsung dari 7 hingga 20 April ini.

    Muhammad Hafiz berkata seperti kebanyakan atlet lain, beliau kini gigih berlatih dan memperbaiki kelemahan kerana berhasrat untuk beraksi dalam Jelajah Persatuan Pemain Boling Professional (PBA) dalam tempoh dua tahun lagi.

    “Biasanya, kita akan tengok kepada lane untuk tentukan sasaran pada apa yang kita perlu buat untuk menjadikan konsisten. Cabaran peserta? Semua kata boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas sidang media kejohanan berkenaan di Sunway Megalanes di sini, hari ini.

    Sementara itu, Presiden MTBC, Datuk Mohd Najeeb Abdullah memaklumkan Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2025 akan disertai oleh 43 pemain negara selain menjangkakan penyertaan daripada 15 negara termasuk Malaysia, dengan tujuh daripadanya sudahpun mengesahkan kehadiran barisan elit mereka.

    Negara yang telah mengesahkan penyertaan elit ialah Singapura, Sweden, Hong Kong, Filipina, Thailand, Macau dan Kuwait. 

    Selain itu, tiga pemain profesional antarabangsa iaitu Danielle McEwan (Amerika Syarikat), Maria Jose Rodriguez (Colombia) dan Pontus Anderson (Sweden) turut akan beraksi dalam kejohanan ini. – Bernama

    Atlet boling Malaysia, Muhammad Hafiz Zainuddin, ketika sesi latihan Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-43 2025 di Sunway Pyramid hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda